Kerja Kursus Sejarah 2010

Posted on 3:18 AM, under

KERJA KURSUS 2010
Panduan Melaksanakan Kerja Kursus 2010
Arahan Kepada Calon:
1. Calon PMR wajib melaksanakan Kerja Kursus Sejarah.
2. Calon hendaklah mendapat bimbingan guru dalam pemilihan tajuk kajian. Tajuk kajian mestilah berkaitan dengan negara kita Malaysia.
3. Calon mesti melaksanakan ketiga-tiga elemen
4. Calon digalakkan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk mencari dan mengumpul fakta sejarah.
5. Calon boleh menjalankan kajian secara berkumpulan tetapi hasil kerja mestilah secara individu.
6. Fakta sejarah yang dikumpul untuk Elemen 1 hendaklah didokumentasikan bersama-sama hasil Elemen 2 dan Elemen 3.
7. Hasil kerja kursus calon mestilah merupakan hasil usaha sendiri dan tidak ditiru daripada mana-mana pihak.
8. Elemen 2 hendaklah dihasilkan dalam bentuk esei tidak kurang daripada 15 halaman mengikut format yang ditetapkan.
9. Hasil kerja kursus hendaklah ditulis tangan, ditaip atau menggunakan komputer. Penulisan menggunakan komputer hendaklah dengan fon Times New Roman, saiz 12 dengan langkau 2.0.
10. Hasil kerja kursus hendaklah menggunakan kertas saiz A4 sahaja.
11. Maklumat peribadi calon hendaklah ditulis di halaman hadapan laporan.
12. Penilaian proses kerja calon akan dilakukan sepanjang masa kerja kursus dilaksanakan.
13. Penilaian dan pemberian markah dilakukan selepas pelaksanaan setiap elemen.

ELEMEN DAN ASPEK YANG DINILAI
E 1.0 Mengumpul fakta sejarah
1.1 Mencari dan mengumpul fakta sejarah daripada sumber yang sahih.
E 2.0 Merekod fakta sejarah
2.1 Mengelas, menganalisis, mentafsir dan merumus fakta sejarah mengikut format yang ditetapkan.
E 3.0 Penerapan unsur patriotisme
3.1 Berbangga sebagai rakyat Malaysia
3.2 Bersemangat setia negara
3.3 Bersemangat kekitaan
3.4 Berdisiplin
3.5 Berusaha dan produktif
JADUAL PELAKSANAAN KERJA KURSUS
Februari/Mac - taklimat dari guru
Elemen 1 - (Mac-April) – pengumpulan fakta
Elemen 2 - (April-Mei) - pembinaan kerja kursus
Elemen 3 - (Mei-Jun) - menulis esei
Penggredan (Jun)
SUSUNAN KERJA KURSUS
Kulit buku spt yg dibekalkan oleh LPM (format)
1. Elemen 1:
Bahan-bahan daripada orang sumber, jurnal, buku, internet, dsbnya (fotostat)
2. Elemen 2
(a) Tajuk.
(b) Senarai kandungan.
c) Penghargaan.
(d) Objektif Kajian.
(e) Kaedah kajian.
(f ) Hasil Kajian.
(g) Rumusan.
(h) Lampiran.
(i) Rujukan
Penghargaan (contoh)
Saya amat bersyukur kerana dengan izin Allah dapat menyiapkan tugasan kerja kursus sejarah ini dengan sempurna dan lancar.
Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada kedua ibu bapa iaitu En. Murad b. Ali dan Pn. Rahimah bt. Selamat yang banyak memberi dorongan dan bantuan daripada segi idea, maklumat, kewangan dan sokongan moral dalam usaha menyiapkan tugasan ini.
Tidak lupa juga kepada Pn. Rohaiza bt Zainal Abidin , iaitu guru mata pelajaran Sejarah yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan bimbingan dalam menjayakan kerja kursus ini.
Ucapan terima kasih juga dikhususkan kepada para rakan iaitu Ainul Mardhiah dan Khrunisa yang turut membantu berkongsi bahan internet dan meminjamkan buku ilmuan serta majalah kepada saya.
Tidak ketinggalan juga ucapan jutaan terima kasih diberikan kepada petugas-petugas Pusat Sumber SMKDARY dan kakitangan Perpustakaan Awam Seri Iskandar yang turut membantu saya mencari bahan bagi melaksanakan kajian ini. Segala jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh semua pihak amatlah dihargai.

Objektif kajian (Contoh)
Objektif kerja kursus sejarah ini dijalankan adalah untuk memenuhi syarat peperiksaan PMR yang mana setiap calon perlu menyiapkan tugasan kerja kursus sejarah yang berkaitan dengan perayaan tradisi masyarakat di Malayia.
Dari segi isi kandungan, kajian ini membolehkan saya mengenalpasti sumber-sumber sejarah yang sahih. Ini akan dapat membantu saya membuat kajian ilmiah dengan tatacara yang betul. Seterusnya akan dapat mengetahui secara mendalam tentang perayaan yang dikaji dari segi latar belakang perayaan, persiapan sambutan perayaan dan kesan-kesan perayaan.

Objektif seterusnya adalah dari aspek iktibar iaitu untuk memupuk semangat patriotik bagi menghargai perayaan tradisi pelbagai masyarakat di Malaysia dan secara tidak langsung membantu mengekalkan sesuatu budaya bangsa yang menjadi warisan bersama selaras dengan konsep 1Malaysia.
Selain itu, objektif berikutnya adalah dapat mengetahui secara mendalam tentang perayaan di Malaysia khususnya Hari Raya Aidil Fitri dari segi latar belakang, persiapan sambutan perayaan (sebelum, semasa, selepas) dan kesan sambutan perayaan dari aspek kekeluargaan, perpaduan dan sebagainya.


Kaedah kajian ( Contoh )

Ketika menjalkan kajian, saya telah melayari internet untuk memperoleh maklumat yang berkaitan dengan tajuk kajian. Antara laman web yang dilayari termasuklah http:/www.wikipedia.wiki/org.my. Maklumat tersebut dimuat turun untuk dijadikan bahan rujukan.
Selain dari itu saya telah menemuramah kedua-dua ibu bapa saya iaitu .............
................................. dan ............................ dan Ustaz Hishamuddin untuk mendapatkan maklumat mengenai sambutan Hari Raya Aidil Fitri. Ibu bapa saya menjelaskan tentang persiapan dan perbelanjaan untuk menyambut perayaan tersebut. Manakala Ustaz Hishammuddin Bin Haji Hassan pula menjelaskan tentang sambutan perayaan Hari Raya Aidil Fitri dari sudut agama Islam.
Seterusnya, saya telah melakukan analisis dokumen yang telah saya kumpulkan sepanjang membuat penyelidikan perpustakaan. Antara dokumen yang telah saya analisis termasuklah pelbagai buku rujukan, keratan akhbar dan majalah, bahan-bahan yang dimuat turun daripada internet, pelbagai gambar dan lain-lain.
Saya juga membuat penyelidikan di Pusat Smber Sekolah. Saya merujuk beberapa sumber seperti buku berjudul “ Perayaan di Malaysia”. Maklumat yang berkaitan difotostat dan disalin dalam buku catatan.



HASIL KAJIAN (CONTOH)
Perayaan tradisi
Perayaan Hari Raya Aidilfitri (bahasa Arab: عيد الفطر‎; 'Ayd al-Fiṭr; "perayaan fitrah") juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah dan Hari Lebaran. Hari Raya Aidilfitri disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia tidak kira bangsa sama ada Melayu,India-Muslim dan lain-lain bangsa di seluruh dunia yang beragama Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun.
Latar belakang
Sejarah/asal usul perayaan
Sejarah hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu. Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya itu, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka. Lalu Rasulullah menyatakan kepada orang Arab Madinah bahawa Islam menggantikan dua hari raya yang kamu raikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri.

Upacara khusus, individu yang mengetuai upacara khusus dan tempat khusus sambutan di jalankan
Hari Raya Puasa bermula melalui dua cara; iaitu melalui rukyah (melihat anak bulan) ataupun secara hisab(kiraan). Sekiranya melalui rukyah, apabila anak bulan kelihatan, ini menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke-10 dalam Takwim Hijrah Islam. Di Malaysia, anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu maghrib di beberapa tempat strategik.Hari raya Apabila tarikh Hari Raya telah ditentukan, umat Islam akan bertakbir dan bertahmid sambil memuji kebesaran Allah. Tempoh bertakbir bagi Hari Raya Aidilfitri adalah antara terbenamnya matahari(hari terakhir bulan Ramadan) sehingga solat sunat Hari Raya Aidilfitri bermula pada pagi 1 Syawal tahun Hijrah. Hari raya disambut pada pagi hingga malam.
Perayaan Hari Raya Puasa merupakan berakhirnya tempoh untuk membayar zakat fitrah iaitu zakat yang dikenakan kepada mereka yang masih hidup sehingga masa itu. Zakat fitrah tidak perlu dibayar bagi mereka yang telah meninggal dunia. Kebiasaannya orang Islam juga akan mula membayar zakat fitrah semenjak bulan puasa bermula dan zakat fitrah ini akan berhenti dikutip apabila solat sunat Aidilfitri dimulakan. Oleh itu, pada kebiasaannya solat sunat Aidilfitri dilewatkan sedikit berbanding solat sunat Aidiladha. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakar menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid. Berlainan pula, solat sunat Aidiladha digalakkan diawalkan waktunya bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban.

Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat.

Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.

Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan akan terbatal puasanya. Kerana itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.

Kalimat ‘fitri’ sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal. Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.

Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.

Menyentuh soal wang ini, satu kewajipan yang perlu ditunaikan oleh semua umat Islam menjelang Aidilfitri ialah zakat fitrah. Wang zakat ini adalah sumbangan yang akan diberikan kepada golongan yang tidak berupaya, miskin, fakir dan sebagainya mengikut lapan asnaf yang ditetapkan syariat.

Persiapan sambutan perayaan:
- Sebelum, semasa, selepas. Peraturan / pantang larang / amalan sampingan
Sebelum
Di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri disambut dengan meriah. Berminggu-minggu sebelum perayaan tersebut menjelma, suasana persiapan menjelang Aidilfitri telah dirasai. Pusat-pusat membeli-belah akan mengadakan jualan murah dan dihiasi dengan perhiasan secara besar-besaran. Lagu-lagu raya juga akan diputarkan di radio dan di televisyen. Rancangan-rancangan yang berkisarkan Aidilfitri akan ditayangkan. Bank, sekolah, dan premis-premis perniagaan akan ditutup selama beberapa hari sehingga seminggu sempena Aidilfitri.
Di jalan raya utama dan lebuh raya di seluruh negara, kesesakan akan berlaku akibat kebanjiran warga bandar yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama-sama sanak saudara dan kaum keluarga. Fenomena ini juga dikenali sebagai Balik Kampung.
Selain tu, dari sudut agama pula, malam tujuh likur sering dikaitkan dengan Lailatulqadar iaitu detik keemasan untuk individu Muslim merebut syurga apabila malaikat dan Jibril akan turun ke bumi untuk mengaminkan doa orang yang bersembahyang, bertasbih, bertahmid dan bertakbir kepada Allah. Dengan itu timbullah tradisi memasang pelita bagi sebagai simbol meraikan bulan mulia dan memudahkan membantu mereka yang berjalan ke surau atau masjid bagi menunaikan tarawih kerana merebutkan Lailatulqadar, kerana suasana pada malam terlalu gelap dan mungkin membahayakan keselamatan. Ini adalah kerana pada masa dahulu, tiada kemudahan elektrik seperti hari ini.
Semasa
Antara amalan yang dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri ialah amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri. Pada pagi Hari Raya Aidilfitri(selalunya sebelum dan sejurus sesudah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri), umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara akan mengunjungi pusara mereka dan menghadiahkan Surah Al-Fatihah atau bacaan surah Yaasin. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan taulan. Mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.
Amalan memberi wang kepada kanak-kanak juga amat popular pada Hari Raya. Duit raya selalunya diberikan oleh orang dewasa kepada kanak-kanak melalui sampul duit yang selalunya berwarna hijau dan kuning. Sampul duit raya diadaptasi daripada amalan orang Cina yang memberi sampul merah berisi wang ataupun "Ang Pau". Pada Hari Raya, sampul selalunya berwarna selain daripada warna merah, iaitu hijau atau kuning. Terdapat pelbagai saiz sampul yang dikeluarkan oleh bank-bank dan syarikat-syarikat perniagaan, antaranya saiz yang bersesuaian dengan saiz wang kertas polimer RM 5. Kadangkala amalan pemberian Duit Raya diganti dengan pemberian hadiah-hadiah.
Amalan sampingan
Rumah-rumah terbuka akan diadakan pada Hari Raya itu sendiri ataupun sepanjang bulan Syawal. Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri selalunya akan berpanjangan sehingga sebulan, dan kemeriahan itu akan hilang dengan sendirinya apabila semua orang pulang ke bandar setelah cuti tamat.Biasanya minggu pertama hari raya,jalan akan dipenuhi dengan kereta dan menyebabkan jalan sesak.

4. Kesan perayaan: Kekeluargaan, perpaduan, pelancungan, kebudayaan, peluang perniagaan, keagamaan/kepercayaan, pengekalan tradisi, pendidikan/pengetahuan.

Rumusan (contoh)
Sebagai rumusan, dari segi tajuk kajian yang dipilih dapat membantu saya sebagai pelajar untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang perayaan-perayaan tradisi masyarakat Malaysia khususnya perayaan Hari Raya Aidil Fitri. Maklumat yang dikumpul telah memberi pendedahan kepada tentang keunikan sesuatu perayaan dan betapa kita perlu berbangga dan menghormati perayaan-perayaan tradisi rakyat Malaysia agar perpaduan dapat dipupuk di kalangan penduduk berbilang kaum di Malaysia
Perayaan Hari Raya Aidil Fitri merupakan perayaan utama orang Melayu di Malaysia. Kita sebagai bangsa Malaysia hendaklah berbangga dengan perayaan tersebut yang merupakan sebahagian daripada perayaan rakyat Malaysia yang merupakan negara berbilang kaum. Perayaan ini juga merupakan sebahagaian daripada ibadat dalam Islam hendaklah disambut selaras dengan kehendak agama Islam termasuk merayakannya secara sederhana dan tidak berlebih-lebihan.
Melalui kajian sejarah ini, kita dapat mengujudkan perpaduan kaum dan dapat mempupuk keharmonian di kalangan rakyat Negara Malaysia. Keadaan ini akan menjamin keamanan negara dan kita perlulah bersyukur dengan keharmonian yang dinikmati. Nilai murni seperti hormat-menghormati, bertolak ansur dan bekerjasama dalam merayakan sesuatu perayaan merupakan pendedahan yang berguna kepada saya untuk masa depan.Melalui kajian ini, semangat patriotik berjaya ditanam. Kewujudan pelbagai perayaan tradisi di Malaysia perlulah dipertahankan kerana ia membantu membentuk jati diri sebagai warganegara Malaysia selaras dengan konsep 1Malaysia.
Lampiran - Bahan-bahan yang boleh disertakan sebagai lampiran termasuklah:
a. Gambar
b. Kad ucapan perayaan
c. Sampul duit raya
d. Resipi makanan utama sewaktu hari raya ( dengan gambar )
e. Teks ucapan Perdana Menteri sempena mana-mana hari raya
f. Teks khutbah Hari Raya
g. Resit zakat fitrah
h. Kad pengenalan ibu bapa
h. Lain-lain yang sesuai
Rujukan ( Contoh penulisan)
Buku Ilmiah
Masariah Mispari, Johara Abdul Wahab, Ridzuan Hasan, 2003. Sejarah Tingkatan 2.
Kuala Lumpur:DBP.
Lofti Ismail,1988. Sejarah Malaysia 1400-1963. Kuala Lumpur:Utusan Publications and
Distributors Sdn.Bhd.
Malaysia Region 1945-1965. Kuala Lumpur:Universiti Malaya Press.

Jurnal
Ahmad Masjidin. “Malayan Union Dalam Ruangan Akhbar Warta Negara” dalam Jurnal
Malaysia dari Segi Sejarah. Bil 8, April 1979.
Ishak bin Tadin,1960. “Dato’ Onn and Malay Nationalism 1946-1951”, dalam JSEAH.
Vol 1.Mac 1960.

Akhbar
Utusan Malaysia, 17 Jun 1992, halaman 5.

Majalah
Mingguan Wanita, Julai 2008

Orang Sumber
Encik Ismail bin Mohd Kassim, 43 tahun, No 21, Jalan Lundu 7, Taman Beringin 52000
Kuala Lumpur.
Puan Hamidah binti Daudshah, 57 tahun, No 7, Jalan SG 1/ 30, Taman Sri Gombak,
68100 Selangor.

Internet
Hari Raya Aidilfitri, http://ms.wikipedia.org/wiki/Hari_Raya_Aidilfitri

edit post